Yayasan Kebudayaan Dayak sediakan tuisyen dan hadiah cemerlang

Yayasan Kebudayaan Dayak (YKD) menyediakan peruntukan ratusan ribu bagi melaksanakan dua projek iaitu pembukaan kelas tuisyen percuma dan pemberian insentif untuk pelajar Dayak yang cemerlang dalam akademik pada tahun ini.
Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, bagi kelas tuisyen ia akan dilancarkan di Miri, Bintulu dan Kuching dalam masa terdekat.
Beliau berkata, manakala hadiah insentif pula akan diberikan kepada 15 pelajar masing-masing dari kaum Orang Ulu, Bidayuh dan Iban untuk tiga kategori iaitu mereka yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Kedua-dua projek ini yang menelan perbelanjaan ratusan ribu bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kalangan masyarakat Dayak di negeri ini sepanjang tahun 2010,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan Persatuan Dayak Miri (DAM) di sebuah hotel terkemuka malam tadi.
Jabu yang merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, untuk itu YKD akan melipatgandakan usaha untuk mencari peruntukan tambahan bagi memastikan kedua-dua projek ini berjalan lancar.
“Walaupun ia membabitkan sejumlah wang yang besar, namun demi kebaikan kaum Dayak untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, kita akan meneruskan projek ini pada masa hadapan,” katanya.
Untuk hadiah insentif katanya, YKD akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran untuk mengesan pelajar-pelajar Dayak yang layak menerima.
Sehubungan itu, beliau mahu DAM memainkan peranan lebih agresif dalam membantu kerajaan meningkatkan kesedaran pentingnya pendidikan di kalangan ibu bapa khususnya yang tinggal di pedalaman.
“Saya cadangkan agar selepas ini DAM lebih kerap mengadakan lawatan ke rumah-rumah panjang selain ke sekolah untuk mengesan pelajar Dayak yang bermasalah terutama dari keluarga miskin dan kurang mampu.”
Menurut Jabu, hanya melalui pendidikan kaum Dayak dapat memajukan diri mereka setaraf dengan kaum lain yang jauh lebih maju.
Hadir sama pada majlis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing dan ADUN Telang Usan, Lihan Jok, Presiden DAM yang baru dilantik, Ellison Ludan, bekas presiden Alexander Isut Karin dan Penasihat kaunselor DR. Nuing Jeluing.
Source: Sarawak Update
