Jalan berturap ke beberapa kawasan kubur di Lambir

MIRI: Sejumlah RM17 juta diperlukan daripada kerajaan persekutuan bagi membina jalan raya berturap di beberapa kawasan perkuburan di kawasan Lambir.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, permohonan itu dikemukakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan sudah dihantar ke Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.
“Kita berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan meluluskan permohonan ini memandangkan kawasan perkuburan itu belum mempunyai jalan raya akses yang baik,” katanya ketika berucap pada Malam Penghargaan Persatuan Dayak Miri (DAM) di sini, malam semalam.
Jabu yang juga penaung DAM berkata, sebelum ini penduduk tempatan di Miri mengadu kesukaran untuk mengebumikan mayat ke perkuburan di Lambir kerana jalan yang becak dan berlubang.
Pada majlis itu beliau turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada DAM bagi menguruskan tapak perkubu-ran Dayak di Lambir yang sehingga kini belum lagi dibuka untuk kegunaan.
“Keutamaan kita adalah menguruskan tapak perkubu-ran itu, manakala baki peruntukan itu boleh digunakan untuk menganjurkan aktiviti tahunan atau membantu golongan susah,” kata Jabu.
Terdahulu penasihat DAM, Kaunselor Dr Nuing Jeluing memberitahu, DAM akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh persatuan-persatuan Dayak yang lain bagi menguruskan tapak perkuburan itu.
Beliau berkata, selain itu, keahlian untuk jawatankuasa ini akan dibuka kepada persatuan lain seperti Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Persatuan Iban Dayak Sarawak (SADIA).
Katanya, persetujuan itu dicapai semasa mesyuarat agung dua tahun sekali DAM di sini, semalam. “Selain itu, kita sudah bersetuju untuk membangunkan tapak perkuburan berkenaan pada Jun tahun ini,” katanya dan menambah kerjasama semua pihak, khususnya di kalangan masyarakat Dayak di Miri amat diperlu untuk melancarkan projek tersebut.
Utusan Borneo
March 22, 2010, Monday
